Tuesday, June 7, 2011

SATU DIRHAM MENGATASI SERIBU DIRHAM

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

“Satu dirham mengatasi seribu dirham.”

Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”

Mata wang dirham adalah mata wang yang lumrah digunakan di zaman Rasulullah s.a.w.

Dari hadis diatas dapat kita mengambil pengajaran bahawa sumbangan si miskin walaupun kecil tetapi besar bagi si miskin kerana ia memerlukan wang tersebut untuk menyara kehidupannya, dia terpaksa berlawan dengan perasaan dan rasa hatinya sendiri dan sanggup memberikan sedekah tersebut dengan rasa ikhlas dan takwa .

Sebaliknya si kaya tidak merasai apa-apa kesulitan walaupun dia bersedekah sebanyak seribu dirham, kerana harta yang ia miliki jauh lebih banyak daripada apa yang disedekahkan.

Oleh itu Allah s.w.t. menilai bukan pada jumlah sumbangan tetapi ianya dinilai daripada sejauh mana pengorbanan dan kesusahan yang terpaksa ia lalui untuk memberi sumbangan. Itulah sebabnya kenapa satu dirham mengatasi seribu dirham.

Sifat cintakan harta boleh menjangkiti siapa sahaja tanpa mengenal orang miskin atau kaya.

Berlatihlah bersikap dermawan sewaktu miskin, walaupun menderma seringgit mungkin seringgit yang kita dermakan nilainya melebihi seribu ringgit.

Sekiranya amalan mulia ini diteruskan, percayalah kamu akan bersikap dermawan sewaktu kaya nanti.

Didalam satu wasiat Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali r.a. mengatakan bahawa dipintu Syurga ada tertulis bahawa orang yang bakhil tidak dibenarkan masuk kedalam Syurga.

Sekiranya kamu membiarkan diri bersikap bakhil, kemungkinan penyakit bakhil itu akan terus kekal sewaktu kamu kaya.

Rebutlah peluang untuk bersedekah dan menyumbang sementara harta dan umur masih ada.

Kamu tidak tahu, mungkin esok kamu jatuh miskin atau kembali kepada Allah s.w.t dan tidak berkesempatan untuk bersedekah.

By: Ustaz Nasir (Facebook)

No comments:

Post a Comment